Didik anak cara Sayidina Ali R.A.

Sumber : Mingguan Wanita
Penulis : Nurul Asiah Fasehah Muhammad


(Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia)

Anak adalah anugerah Allah yang amat indah tiada tolok bandingannya. Jadi, tidak hairanlah jika setiap perkara berkaitannya amat diberikan perhatian. Didikan awal yang sempurna akan memastikan kehidupan depannya yang cemerlang dan indah menurut aturan Islam.

Justeru, dihalaman ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai tip yang diberikan oleh Saidina Ali R.A. mengenai didikan anak-anak mengikut peringkat usianya.

Pesanan Saidina Ali R.A. : “Didiklah anak kamu dengan cara yang berbeza setiap 7 tahun.

♡ 7 tahun pertama, beri dan ajarkan mereka tentang kasih sayang. Manjakan mereke dengan kelembutan dan rasa cinta.
♡ 7 tahun kedua, berlaku tegas dengan mereka, didik mereka dan perbetulkan kesalahan yang mereka lakukan.
♡ 7 tahun ketiga, berkawanlah dengan mereka, disaat ini mereka memerlukan teman untuk berbicara dan mengemukakan pendapat. Mereka sudah boleh berfikir, bersahabatlah dengan mereka sebelum mereka mempunyai sahabat lain yang boleh merosakkan akhlak.”

Fasa 1 – perlu dimanja

Melalui kalam Saidina Ali ini, dapat dirungkaikan tiga peringkat penting dalam kehidupan anak-anak. Peringkat pertama pada usia 0-6 teahun iaitu 7 tahun pertama pendekatan yang terbaik untuk mendidik anak-anak ialah dengan memanjakan dirinya. Berikan kasih saying yang melimpah ruah kepadanya. Ini kerana, anak-anak pada usia ini amat memerlukan kebergantungan dari sudut fizikal.

Apa yang diterjemahkan oleh ibu bapanya dalam bentuk ini akan lebih terkesan dalam dirinya. Contohnya, jika kita sentiasa senyum kepadanya, dia dapat merasakan limpahan kasih sayang yang sedang dicurahkan kepadanya. Anak pada usia ini banyak belajar melalui bermain justeru keberadaan dan penglibatan kita bermain bersamanya dapat menterjemahkan kasih sayang kita kepadanya.

Anak-anak yang banyak dirangsang dengan kasih saying pada usia ini akan membina keyakinan terhadap dirinya dan orang lain. Sebaliknya jika mereka tidak mendapat keperluan ini, mereka akan membesar sebagai individu yang kurang berkeyakinan dan sentiasa dalam keadaan cemas terhadap keselamatan diri (trust versus mistrust).

Fasa 2 – terapkan disiplin

Fasa kedua kehidupan iaitu 7-13 tahun. Fasa ini dipanggil fasa kanak-kanak di mana anak-anak wajar diterapkan dengan disiplin yang tinggi. Mereka berhak diberitahu mana yang wajar dilakukan dan mana yang tidak wajar dibuat.
Disiplin bukan bermaksud garang. Ibu bapa wajar menetapkan peraturan untuk anak-anak dan tegas dalam menguatkuasakan peraturan yang telah dibuat. Anak pada waktu ini memerlukan kebergantungan kognitif. Mereka memerlukan rasional pada satu-satu peraturan yang ditetapkan.

Jelaskan kepada mereka dengan baik dan boleh menjatuhkan hukuman untuk tujuan mendidik jika masih mengulanginya. Marhalah atau tahap ini amat penting untuk membentuk disiplin dan akhlak anak-anak.

Bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W. tentang suruhan memukul anak jika dia tidak menunaikan solat ketika usianya 10 tahun kerana perkembangan minda anak-anak di waktu ini sudah boleh memahami dan bergantung kepada apa yang berlaku sekarang dan di sini (here and now). Galakan dalam bentuk pujian dan hukuman (reward and punishment) dapat membentuk dan memberikan panduan kepada mereka apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak.

Fasa 3 – bersahabat dengan anak

Seterusnya, pada fasa 7 tahun ketiga iaitu 14-20 tahun berkawanlah dengan mereka. Jadilah kawan anak yang paling akrab sehingga mereka boleh menceritakan semuanya dengan kita. Berilah pandangan dan pendapat anda sebagaimana seorang rakan, pandu anak anda dengan nasihat yang baik kerana kekerasan pada ketika ini hanya meretakkan hubungan anda berdua.

Pada usia ini anak amat memerlukan pengiktirafan daripada kedua ibu bapanya. Kebergantungannya sekarang tertumpu kepada kebergantungan emosi. Jadi, beri ruang untuknya berkongsi dengan kita dan jadilah pendengar yang setia. Sering adakan perbincangan santai dengannya dan tegurlah kesilapannya dengan cara yang baik.

Akhirnya, setelah anak mencapai umur dewasa iaitu 21 tahun ke atas, layanilah mereka seperti orang dewasa. Usah diherdik atau dimarahi persis budak malah santuni mereka dengan baik.

Walaupun telah dewasa, anak-anak memerlukan dorongan dan sokongan daripada ibu bapanya. Kita tetap menjadi rujukan untuk dia melakukan atau membuat sesuatu keputusan. Jadi, kongsi pendapat kita dengannya namun jangan pula memaksa dia mengikutinya cukuplah sekadar panduan dan berilah peluang untuk dia memutuskan pillihannya.


Menjadi ibu dan ayah tidak semudah yang disangka bukan hanya memberikan mereka keperluan fizikal sahaja memeritkan malah memenuhi keperluan rohani adalah cabaran sebenarnya... Mungkin sedikit panduan dari artikel yang akak taip semula dari majalah mingguan wanita ini dapat memberikan sedikit buah fikiran.. Bila membacanya terasa akak banyak juga melanggar apa yang digariskan dan harap dapat melakukannya dengan lebih baik lagi nanti...

Comments

  1. TQ for sharing..gud info..;)

    ReplyDelete
  2. sama lah kak.. saya ni pun kdg2 terbabas juga.. besar sungguh amanah nak mengasuh anak pada usia kecik ni..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts