Elak bayi daripada lemas susu
diambil dari Utusan Malaysia 28/11/2008.. hanya untuk ingatan diri sendiri yang selalu juga mengambil mudah sesuatu perkara. Jadinya sedarlah wahai insan...
Elak bayi daripada lemas susu
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
DALAM setahun pasti ada empat atau lima kes membabitkan kematian bayi akibat lemas atau tersedak susu.
Terbaru melibatkan bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia akibat lemas susu ketika dalam jagaan di pusat asuhan.
Walaupun bilangannya agak kecil dan mungkin boleh dianggap kes terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.
Adalah suatu yang cukup malang apabila bayi yang baru hendak melalui alam barunya tidak dapat meneruskan kehidupan dek kerana kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri.
Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang terpaksa menerima hakikat kehilangan anak akibat kecuaian. Walau apa pun, setiap daripada kita pasti tidak inginkan ia menjadi kisah sedih yang berulang.
Pertemuan dengan Pakar Pediatrik dari Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Syed Nazir MS Kadir, berjaya memberi penerangan lebih jelas tentang bagaimana insiden lemas susu boleh berlaku.
"Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu tersebut akan terus mengalir membuatkan bayi akan tersedak dan susu tersebut akan masuk ke saluran pernafasan.
"Sebagai pengasuh atau ibu bapa, amalan meletakkan kain atau bantal untuk menyokong botol susu adalah sangat tidak baik kerana ia boleh meningkatkan risiko insiden yang tidak diingini," katanya.
Kebiasaannya apabila susu termasuk ke dalam paru-paru, seorang bayi akan tersedak atau batuk. Tindakan refleks itu sebenarnya adalah satu mekanisme perlindungan untuk bayi tersebut.
"Apabila tersedak dalam jumlah sedikit berpotensi menyebabkan pneumonia. Ada bayi yang muntah selepas minum susu, jika ini berlaku, cepat-cepatlah angkat bayi tersebut dan pastikan bayi tersebut sedawa setiap kali selepas minum susu," kata beliau lagi.
Begitupun bagi Dr. Syed Nazir, cara terbaik untuk mengelak bayi tersedak atau lemas susu ialah dengan memberi susu badan.
Ini kerana apabila menyusu badan, susu hanya akan keluar apabila bayi menyedut sahaja.
"Jadi apabila bayi tertidur ketika menyusu badan, susu tidak akan mengalir dan mengurangkan risiko tercekik susu," jelas beliau.
Begitupun beliau mengakui, adalah sukar untuk ibu berkerja memberi susu badan sepenuhnya dan tidak mempunyai pilihan selain menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak.
"Ibu bapa yang bekerja pula, seharusnya mendapatkan pengasuh untuk mengasuh anak mereka secara intensif.
"Kalau di pusat jagaan anak-anak pula, pastikan jumlah bayi di situ tidak begitu ramai. Lagi sedikit jumlahnya lagi baik kerana pengasuh boleh memberi tumpuan kepada anak asuhannya.
"Ini amat penting bagi memastikan tumpuan maksimum dapat diberikan kepada bayi tersebut terutama ketika mereka sedang minum susu dari botol," ujar beliau.
:>Jadi hargailah kurniaan Allah yang sangat berharga.. Aku juga sebenarnya bila dah rasa penat sangat suka mengabaikan perkara2 remeh & apabila aku tersedar aku bersyukur sangat pada Allah kerana sesungguhnya sesaat kita terlalai, seumur hiduplah kita merana. Jadikanlah iktibar ini wahai semua ibu bapa, pengasuh dan siapa juga kerana anak itu baru mengenal dunia..
From Kinrara with Love
♥ Atikah & Azalia ♥
Comments
Post a Comment