DanaInfra Nasional terbit sukuk RM6b

BERITA HARIAN  2013/01/16 - 04:59:17 AM Oleh Kamarulzaidi Kamis Cetak  
Dana biayai projek pembinaan MRT Lembah Klang DanaInfra Nasional Bhd merancang menerbitkan sukuk bernilai sekurang-kurangnya RM6 bilion pada tahun ini untuk membiayai projek pembinaan dan pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang, sekali gus menawarkan lebih banyak peluang untuk pelabur, termasuk individu melanggan bon Islam yang menawarkan pulangan kompetitif itu. Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Kamal Mohd Ali, berkata syarikat itu berkemungkinan menerbitkan sukuk yang bernilai RM1.5 bilion pada setiap suku tahun pada 2013 ini.


“Kelas aset itu sentiasa dianggap sebagai pelindung nilai dalam pasaran lemah dan sebagai aliran pendapatan tetap untuk jangka panjang. Kini, ia yang boleh dilanggan pelabur awam," Kamal Mohd Ali, Ketua Pegawai Operasi DanaInfra Nasional

“Ia boleh jadi lebih daripada RM6 bilion bergantung kepada keperluan MRT Corp,” katanya kepada media pada sesi makan tengahari di Kuala Lumpur semalam.

Syarikat di bawah Kementerian Kewangan itu baru-baru ini melancarkan terbitan pertama sukuk bernilai RM1.5 bilion dengan tempoh matang 10 tahun bagi mengumpulkan dana membiayai projek berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, RM300 juta ditawarkan untuk langganan orang awam menerusi Sukuk Runcit DanaInfra iaitu sukuk runcit pertama negara, manakala RM1.2 bilion ditawarkan kepada pelabur institusi.

Bon Islam yang dijamin kerajaan itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 8 Februari ini. Kamal berkata, kadar pulangan keuntungan minimum 3.7 peratus setahun bagi sukuk berkenaan adalah amat kompetitif.

Pulangan dua kali setahun “Kadar itu adalah lebih tinggi berbanding pulangan simpanan tetap dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS),” katanya sambil menjelaskan pulangan itu akan dibayar dua kali setahun.

Mengikut perangkaan Bank Negara Malaysia, kadar purata pulangan simpanan di bank komersial setakat November lalu adalah 3.15 peratus, manakala hasil bon kerajaan bagi tempoh tiga tahun adalah 3.04 peratus.

Kamal berkata, tidak seperti simpanan tetap, pulangan pelaburan daripada sukuk yang diterbitkan DanaInfra itu adalah dikecualikan cukai.

Merujuk kepada sukuk runcit DanaInfra, Kamal berkata, ia adalah sukuk pertama yang ditawarkan kepada pelabur runcit.

“Secara tradisinya, bon dan sukuk adalah kelas aset yang hanya boleh dilanggan oleh pelabur institusi dan individu berpendapatan tinggi.

Pendapatan jangka panjang

“Kelas aset itu sentiasa dianggap sebagai pelindung nilai dalam pasaran lemah dan sebagai aliran pendapatan tetap untuk jangka panjang. Kini, ia yang boleh dilanggan pelabur awam,” katanya.

Sukuk Runcit DanaInfra ditawarkan sebagai sebahagian usaha untuk memperluaskan asas pelaburan pelabur di negara ini.

Ia, katanya, memberikan peluang kepada pelabur individu menyertai pelaburan untuk membiayai projek infrastruktur negara.

“Bagi Sukuk Runcit DanaInfra langganannya dibuka pada 8 Januari lalu dan akan ditutup tawarannya pada Jumaat ini(18/1/2013).

“Permohonan boleh dibuat menerusi ATM AmBank, CIMB, Maybank dan RHB atau menerusi perbankan Internet empat bank berkenaan. Ia juga boleh dibuat menggunakan borang yang boleh didapati daripada rumah terbitan, Malaysian Issuing House atau dimuat turun dari laman web www.danainfra.com.my,” jelas beliau.
 
Jumlah langganan minimum sukuk itu adalah RM1,000 dengan gandaan langganan RM1,000 dan tiada had maksimum.

P/S : Esok akak akan buat ringkasan cerita sukuk ini...
GAMBAR : GOOGLE

Comments

Post a Comment

Popular Posts